Set Your Price. Choose your Advertisers. Sign up for SocialSpark!

Sunday, October 9, 2011

Awas Si Dara



Ibu bapa bertanggungjawab mewarnai kehidupan anak
“KALAU anak saya buat ‘kerja kotor’, sengaja nak sapu arang ke muka, saya beri amaran jangan pijak kaki ke rumah lagi,” itulah kata tegas seorang ibu yang hanya mahu dipanggil F kepada Kongsi Rasa, menjelaskan pendiriannya mengenai gejala sosial dalam kalangan generasi muda yang makin menjadi-jadi dan sukar dikawal sekarang.
Walaupun keras bunyi kata-kata itu, F sebenarnya tidak bergurau. Dia pernah memberi amaran itu ketika anak perempuan tunggalnya meminta izin keluar rumah berjumpa teman lelaki pada sebelah malam.
Selain mengingatkan anaknya menjaga ‘body’ (maruah), F juga meminta anaknya tidak pulang larut malam. “Tak manis anak gadis balik pada waktu embun menitis,” katanya. Ketika menasihati anak, F cakap dengan jelas, tidak guna bahasa kiasan pun.
Baginya keselamatan anak lebih diutamakan daripada menjaga perasaan anak yang boleh membawa kehancuran jika gagal dikawal. Mungkin kerana bersifat terbuka dan berhubung rapat dengan anak, semua cerita peribadi anak dikongsi bersama. F yang sentiasa prihatin terhadap anak dapat mengagak jika anak berdepan masalah.
Contohnya, menurut F, baru-baru ini anaknya kerap melayari internet. Selepas diperiksa, rupa-rupanya si gadis ada berhubungan dengan seorang lelaki yang baru dikenali menerusi internet, tetapi cuba merahsiakan hubungan itu. Pernah anak berbohong mengatakan bertemu rakan baik ketika keluar berjumpa teman lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar apabila tiba-tiba anaknya mendiamkan diri selepas memutuskan hubungannya dengan rakan siber itu. Rakan lelaki itu menjelaskan hubungan mereka tidak boleh diteruskan kerana ibu bapanya hanya memilih untuk bermenantukan gadis sekampung.
Anak F yang agak kecewa, tertekan dan perubahan itu dapat dikesan F. Untuk mengubat hati si anak, F memberi perangsang supaya melupakan saja lelaki itu.
“Walaupun saya tidak kaya, tetapi untuk menenangkan fikiran anak, saya rela korbankan wang simpanan saya dengan bercuti bersamanya di luar kawasan,” kata F sambil menambah anaknya memang berhasrat berkahwin cepat dengan alasan mahu ibu dan bapa melihatnya bersanding dan mempunyai keluarga sendiri.
F tidak faham dengan pendirian anaknya itu. Bagi F, dia lebih suka anaknya mantapkan pekerjaan, stabilkan ekonomi diri dan keluarga sebelum membuat keputusan berkahwin.
“Kalau kempunan sangat nak kahwin, usahlah main cekup saja calon suami sehingga mengabaikan latar belakang lelaki pilihan,” kata si ibu kerana baginya, perkahwinan bukan untuk keseronokan sementara, tetapi perhubungan sepanjang hayat. F tidak mahu anaknya terlalu berharap untuk berumah tangga sehingga menggadaikan maruah.
“Kalau ada jodoh anak saya, pasti ada orang yang akan masuk meminang. Kita kena bersabar dan terus berdoa untuk menemui lelaki baik,” katanya. Berikutan dorongan yang diberikan, anaknya mampu mengawal diri dan kini sudah boleh menerima kenyataan.
Kak Ani tabik dengan F yang tahu mengawal anak gadisnya. Kalaulah ada ramai wanita seperti F, Kak Ani percaya kes anak lari dari rumah, berbuat curang di belakang atau bebas berpeleseran boleh dikawal.
Dalam mendidik anak, tidak cukup guna psikologi saja. Ada kala kita kena guna cara kasar, biar anak sedar sikap sebenar ibu yang melahirkan mereka.
Dalam Islam juga diberikan garis panduan jelas mendidik anak. Anak kena diajar sembahyang sebelum usia tujuh tahun. Selepas usia itu jika anak enggan mengerjakan solat, hendaklah disebat atau dipukul (tetapi bukan mendera) sebagai pengajaran.
Kini ibu bapa tak ramai yang gunakan kuasa itu dalam mendidik, apatah lagi apabila anak membesar dalam perhatian pembantu rumah. Ada ibu bapa yang mungkin berkasar dengan anak dengan tujuan mendidik, tetapi dianggap mendera oleh masyarakat yang tidak menerima tindakan itu.
Selain itu ada ibu bapa yang melepaskan tanggungjawab mendidik kepada guru dan menyalahkan pengaruh persekitaran termasuk rakan sebaya sebagai punca gejala sosial sekarang.
Tidak dinafikan pengaruh persekitaran memang menjadi sebahagian daripada penyebab, tetapi ibu bapa kena sedar mereka adalah orang paling dekat dengan anak dan bertanggungjawab mewarnai kehidupan anak mereka.
Usah jadi seperti P Ramlee dan filem ‘Anakku Sazali’ yang bertindak memberi kasih sayang membabi buta sehingga anak dikaburi kemewahan.
Memang ada yang mengatakan susah menjaga anak perempuan sehingga ada bidalan Melayu, ‘menjaga sekumpulan kerbau lebih senang daripada menjaga seorang anak gadis’.
Namun, sama ada lelaki atau perempuan, anak adalah aset bernilai. Jika dididik dengan betul dan diberi pendidikan keagamaan, mereka pasti membalas jasa ibu bapa nanti.

0 comments:

Post a Comment

Connect With Advertisers - Sign up for SocialSpark! Set Your Price. Choose your Advertisers. Sign up for SocialSpark! You blog. You Profit. Sign up for SocialSpark! Set Your Price. Choose your Advertisers. Sign up for SocialSpark!
 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms